PENDAHULUAN
33 Tahun sudah berlalu sejak aku dan isteri ke Tanah Suci mengerjakan ibadah haji. Tahun itu adalah Tahun 1990 bilamana Trajedi Muassem berlaku, mengorbankan banyak nyawa muslimin dan muslimat yang bertembung di dalam terowong pejalan kaki. Sifat tak sabar jemaah dari dua hala bertentangan yang terus menekan-tolak jemaah di hadapan menyebabkan jemaah-jemaah di hujung pertembungan dua arah tersebut remuk dan mati berdarah dengan bilangan yang ramai.


ENGINEERING MIRACLE
Kerajaan Saudi yang menyedari perihal penting terdesaknya menyelesaikan masaalah ini dengan segera membina terowong baru bersebelahan yang siap digunakan pada tahun berikutnya. Ini adalah satu Engineering Miracle kerana biasanya projek terowong sebegini memakan masa sekurangnya tiga tahun sebelum boleh digunakan sepenuhnya.

MUTAWWIF KAMI
Kami hanya mengetahui tentangnya apabila kembali semula ke Tanah Air. Mutawif kami Hj Muhammad Pasir Puteh telah mengambil pendekatan membawa kami bermalam di Makkah dan hanya ke Mina pada petang setiap hari dan duduk di bawah jambatan berdekatan sambil menunggu masa sesuai untuk melontar.
Dia akan menunggu sehingga mendapat ilham sebelum mengajak kami pergi melontar. Bila tiba di jamrah memang kami dapat melontar dengan mudah dan tenang. Kakak dan ibuku mengikuti belakang ustaz. Bila ustaz ajak ‘mai kita melontar’ tetiba mereka sudah berada benar-benar di depan jamrah. Tak tahu bagaimana mereka mencelah di tengah pelontar-pelontar di hadapan kata kakakku..

PANGGILAN DAN COBAAN
Pada masa itu isteriku baru lepas 37 hari bersalinkan anak kami yang ketiga; belum habis pantang kata orang tua. Jiwa isteri meninggalkan anak kecil di jagaan ibunya, dia dan Allah sahaja yang tahu. Aku dapat merasai tempiasnya. Apapun panggilan Kaabah tidak mampu ditolak. Aku pasrah meninggalkan segala kerjaku yang berlambak dan hanya memfokus kepada panggilanNya. Dan aku rasa terkejut bila tidak dapat membayangkan rupa anak-anak kami yang dimanjai bila berada di sana!
HAJI TAMATTU’
Kami terus memasuki Makkah dari KL dan berihram di dalam pesawat. Dan aku hairan bila tiba di sana kerana merasai seolah-olah pulang ke kampong halaman sendiri, dan bukan ke tempat lain. Tanah Suci Makkah seolah-olah kampong halaman sendiri yang melapangkan lamannya menerimai kami.
TEMPAT TINGGAL KAMI
Tempat tinggal kami ketika itu adalah di satu lorong di antara Masjid Abu Hurairah aka Masjid Kucing dan Masjidil Haram melalui BabusSalam. Beberapa tahun kemudian ia telah dirobohkan untuk pembangunan baru. Menara Jam yang ada sekarang ini adalah dahulunya Istana Raja di atas bukit dan kelihatan bila kami keluar dari lorong menuju ke BabusSalam. Di luar BabusSalam adalah dataran yang menampong limpahan pesolah di waktu puncak.
Aku diberitahu bahawa kawasan tandas dan berwudhuk di dataran berkenaan adalah dahulunya rumah Ummul Mukminin Kadijah binti Khuwailid, the epitome of a Muslim Lady, yang dicemburui Aishah walaupun beliau sudah lama meninggal dunia. Ini adalah kerana Rasulullah asyik tersebut nama Khadijah bilamana tersentuh hatinya. Sekarang ini ia sudah dirobohkan untuk pembangunan baru.
TELAGA ZAM-ZAM
Di dalam kawasan Dataran Kaabah dahulunya ada tangga ke bawah menuju ke Telaga Zam-Zam. Kami boleh minum air zam-zam asli di situ sepuasnya dan pada waktu tertentu dibenarkan membasahi badan aka mandi dengan air zam-zam. Aku telah mandi hingga basah kuyup pakaian ihram atas bawah. Walaubagaimanapun tak sampai satu jam ia sudah kering di badan.
Sayangnya bilamana hampir dengan waktu haji dan jemaah-jemaah India-Pakistan ramai yang tiba mereka mengotori kawasan ini dengan kahak dan ludahan merah sireh dari mulut. Malah mereka tidur di tangga menuju zam-zam. Patut benarlah ianya di tutup tak lama kemudian.
Masa itu aku dapat lihat Telaga Zam-Zam dengan tiga batang paip 6″ di dalamnya mengepam air keluar tak henti-henti. Inilah a Living Miracle. Tidak ada Open Well lain yang mampu mengeluarkan air mata tak putus-putus dengan banyaknya. Dari pengalaman Bekalan Air ku, satu batang paip pengepam 4″ mampu mengepam 30,000 gelen air seminit. Aku jangkankan paip 6″ mampu keluarkan dua kali ganda aliran air. Bayangkan pengeluaran 180,000 gelen seminit, atau 10.8 Juta Gelen Sejam tanpa henti!!!

PERISTIWA MERAWAT AIR ZAM-ZAM
Ustaz ada memberitahu bahawa pada satu ketika, pakar luar mendakwa bahawa telaga zam-zam ada membiakkan sejenis virus dan ianya perlu dirawat. Ini mengundang kemarahan para ulamak yang berpegang kepada hadith Nabi bahawa Air Zam-Zam adalah Penawar. Bagaimana ia boleh membiakkan virus sebagai penawar?
Katanya Kerajaan Saudi ketika itu menerima pandangan pakar dan menambah bilangan pam bagi mengepam kering Telaga Zam-Zam untuk dirawat tepian telaganya. Hampir banjir Bandar Makkah ketika itu tetapi air Telaga Zam-Zam melimpah ruah tak surut-surut. Raja Saudi menghentikan operasi tersebut dan selepas itu yakin bahawa air Zam-Zam tak perlu dirawat dan tak akan habis walau dipam sebanyaknya. Begitulah ianya sehingga sekarang ini kita masih menikmati air Zam-Zam yang dihantar juga ke Masjid Nabawi.
TAWAF WIDAK
Ketika tiba waktu kami untuk Tawaf Widak isteriku didatangi haid hingga hanya mampu melambai dari jauh. Ini membuatkannya rasa sangat tidak puas hati dan berazam untuk datang lagi dan memenuhi Tawaf Widak dengan sempurna. Dan tak tahu mengapa, hanya 33 tahun kemudian baru dia mendapat peluang tersebut.

PANGGILAN KAABAH
Pada awal tahun 2023 aku mendapat rezeki dari jualan satu tanah pusaka. Oleh kerana keperluan harian sudah dipenuhi dengan wang pencen maka terdetik di hatiku untuk memenuhi azam isteri sambil mensyukuri rezeki berkenaan.
Aku memberitahunya selepas mengimami solat jemaah maghrib bersama. Wahh.. Kalau bulan mengambang itu melambangkan kecantikan wajah wanita, cantik lagi wajah isteriku ketika itu. Allahu Akbar. Mengapa aku menunggu sekian lama itu penuhi azamnya???
ILAHI MENYAHUT
Selepas itu kami turun ke bawah dan terpandang siaran TV alHijrah. Tak semena-mena aku mengaminkan doa ustaz di dalam TV (Jarang sangat aku buat sebelum ini). Di dalam doa tersebut ustaz memohon diterima sebagai Tetamu Allah di Tanah Suci dan memudahkan segala perjalanan untuk itu.
Allahu Akbar!!! Lintasan Niat terus diterimaNya. Maka aku tahu bahawa aku tidak mampu lagi menidakkannya. Ibarat Solat Sunat Istikharah; bila dijawab dengan rasa yakin dihati, maka melanggarinya akan mengundang musibah besar.
Pagi esoknya anakku Amanina mengajak aku buat Umrah. Allahu Akbar!!! Dua kali niat dijawab Ilahi.
ALFUSILAT AYAT 53
“Dan Kami tunjukkan kepada mereka Tanda-tanda Kami pada seluruh pelusuk alam dan di dalam diri mereka sendiri sehingga ia jelas menunjukkan kebenaran Kami”

Sebagai seorang Islam kita hendaklah sentiasa peka kepada petunjuk-petunjuk Allah yang ditaburi di segenap alam dan yang tersentuh di hati sanubari sebagai Pedoman dariNya. Pada saya ini adalah pedoman yang amat jelas dan saya tidak mampu menidakkannya. Maka Andalusia menjadi pilihan bagi menyahut panggilan tersebut.
ANDALUSIA EJEN UMRAH KAMI
Selepas itu kami tercari-cari pakej yang sesuai untuk satu jangka waktu sebelum Ramadhan. Oleh kerana sudah terlalu lama kami tidak ke Tanah Suci, perubahan yang drastik mungkin menyukarkan kami. Oleh itu kami mengelak bulan Ramadhan yang kami ketahui amat sesak dan benar-benar menguji kemampuan kami.
Satelah mencari pakej tawaran beberapa ajen berwibawa, hanya Andalusia memenuhi cita-cita kami dalam waktu yang diidamkan. Dengan usia kami yang lewat dan kemampuan fisikal yang terhad dengan kekejangan urat saraf kami terpaksa pilih pakej yang paling dekat dengan Masjid Nabawi dan Baitullaahil Haram. Aku ambil pakej untuk 4 orang, satu bilik berempat.
Maka berkursuslah kami bertiga; aku, isteri dan Nur Izzah Hidayah anak bongsu di Andalusia Tunjung, Kota Bharu. Anakku Amanina berkursus di KL. Aku terpaksa bawa kerusi lipat bersana kerana tak mampu bersila di atas lantai simen 3 jam mengikuti kursus. Penceramah berbeza-beza tapi tetap ampuh dengan pendekatan berlainan.

BERMULA PERJALANAN UMRAH
Pada 9hb Mac berlepaslah kami dari Kota Bharu ke KL dan bermalam 2 malam di rumah anakanda Amanina. Anak-sedara datang menghantar kami di airport. Terima Kasih!!!


PENERBANGAN KE TANAH SUCI
11hb Mac Tarikh Keramat. Kami berkumpul di KLIA seawal 9.30pg. Pada pukul 10.10pg ada taklimat dari Wakil Andalusia. Kami diberikan passpot bervisa dan boarding pass. Besan kami berdua dari Klang datang berjumpa sebelum kami berangkat. Anak-menantu juga datang memeriahkan. Terima Kasih semuanya.




Penerbangan adalah dengan pesawat Saudia Air. Ada satu ruang untuk solat di belakang. Biasanya aku solat atas kerusi sahaja. Kali ini dengan fasiliti ini aku gagahi solat berdiri penuh. Masa pesawat tu bergegar melanggar awan, ugah jugalah aku tapi alhamdulillah masih mampu tegap berdiri. Letih jugalah rasanya lama di dalam pesawat. Cramp juga punggong dibuatnya.




KETIBAAN
HARI PERTAMA. Kami tiba pada pukul 6 petang waktu Madinah. Dari Lapangan Terbang Madinah kami dibawa ke Hotel Rawda dengan Bas No.1. Di sinilah mula menyerlah Mutawwif hebat kami; Ustaz Ammar Hidayat yang memberikan penerangan secara terperinci di dalam bas. Orangnya tegap, manis dan sentiasa mengukir senyuman.
Selepas uruskan beg dan makan malam kami ke Masjid Nabawi mengerjakan solat Jamak Qasar. Jaraknya hanyalah 150m dari hotel dan mudah masuk melalui Pintu Pagar 330. Allahu akbar!!! Satelah 33 tahun dapat menjejakkan kaki semula di masjid di mana bersemadinya jasad paling mulia di sekelian alam; Muhammad Rasulullah SAW.




ZIARAH DALAMAN
HARI KEDUA. Keesokan harinya, Ahad 12 Mac Ustaz sudah aturkan Ziarah Dalaman. Kami dibawa sekitar Masjid Nabawi dan diberikan penerangan tempat-tempat bersejarah dan signifikasinya. Paling agung adalah tempat bersemadinya Maqam Baginda Rasululullah SAW dan Rhaudah, satu taman dari Taman Syurga. Malah kaum Adam dapat masuk ke situ melalui slot Mutawwif. Bermacam ragam tingkah manusia boleh dilihat dengan cara mereka menunjukkan kasih sayang kepada Baginda.
Di kesempatan ini aku terasa amat rendah diri, memberikan salam kepada baginda Rasulullah SAW dan menyampaikan salam-salam dari adik beradik, sanak saudara dan sahabat taulan yang mengirimnya.





















MASJID DAN SHOPPING
HARI KETIGA. Isnin 13hb kami penuhi dengan aktiviti ibadah di Masjid Nabawi dan rayau shopping bila terluang masa. Makanan di Hotel Rawda amat memuaskan dan kami tidak merasai perlu keluar cari makan yang lebih memenuhi selera.
Anakku Nana dapat masuk Rhaudah melalui slot seorang ustazah, alhamdulillah.
Kawasan shopping adalah berdekatan dengan hotel. Pekedai-pekedai pun ramah mesra tanpa menekan. Senang hati rasanya berurusan dengan mereka. Sempatlah beli sejadah, jubah, Ajwa Premium Madinah Dates dan pakaian muslimah.
Di hujung Hotel Hilton ada satu kawasan makan-makan antarabangsa menyediakan makanan dari perbagai negara. Di tengahnya disediakan meja-bangku makan di hiasai hijauan. Sangat kreatif.












ZIARAH LUAR
HARI KEEMPAT. Selasa 14hb. Program hari ini adalah Ziarah Luar. Pada pukul 7.20pg Bas berlepas. Destinasi pertama adalah Masjid Quba’ di mana Rasulullah SAW telah membina masjid pertamanya satelah memasuki Madinah. Rasulullah SAW telah membiarkan untanya berjalan sendiri dan di mana ia berhentilah yang menjadi tapak kepada masjid ini. Baginda Rasul juga telah memberitahu bahawa solat dua rakaat di masjid ini akan memperolehi pahala melakukan satu umrah.








PASAR KURMA. Seterusnya kami ke Pasar Kurma. Lama berhentinya di sini. Ada ladang kecil kurma dan kedai di mana pelbagai jenis kurma dijual dengan harga berpatutan berbanding yang sedia dipacking di pusat beli belah.






JABAL UHUD. Tempat ketiga persinggahan adalah kawasan Jabal Uhud di mana sebilangan besar pemanah-pemanah yang diarahkan baginda bertapak di anak bukit bagi menghalang kemasukan tentera mushrikin telah leka dengan kemenangan awal dan turun untuk mendapatkan harta rampasan perang. Kealpaan ini yelah disambar oleh Komander Perang paling gemilang musyrikin dan juga Islam; Khalid al Walid.
Maka berkubur syahidlah pejuang-pejuang Islam termasuk bapa saudara yang amat Nabi kasihi; Sayyidina Hamzah, bapa sekelian syuhada’. Tak mampu aku menulis tentang kesyahidannya dek terlalu tragis. Menangis aku melihat kawasan kuburnya. Dialah bersama-sama Umar al Khattab yang paling kuat berdepan dengan kafir musyrikin bila baginda Rasul mula berdakwah secara terbuka.
Walaubagaimanapun insan paling mulia itu masih sanggup memaafkan Wahsyi perejam lembing yang telah membunuh Sayyidina Hamzah walaupun tidak mampu angkat mata melihat wajah Wahsyi dek terkenangkan cara kesyahidan Hamzah.






BERSAMBUNG DI BAHAGIANNKEDUA 👇
https://mdrazali.wordpress.com/2023/03/25/sambungan-umrah-andalusia-11-mac-bhg-2/
Leave a Reply