18hb Nov 2021.
Hari ini adalah Hari ke 5 aku dan isteri menjalani Kuarantin di Bilik akibat +ve COVID19 dan Hari ke 10 menjalani kuarantin akibat Close Contact dengan pesakit sah COVID19, iaitu; anakanda sendiri yang tidak tahu di mana di jangkitinya.
MULA DIKESAN 14 NOV
Tarikh merah ini mula terkesan pada 14 Nov apabila isteri sukar nak bangun pagi kerana batuk, selsema dan tak selesa di kerongkong. Apabila anakanda Fadhil naik ke atas (masa tu kami satu rumah di kuarantin kerana Close Contact dengan pesakit) dan bertanya, dia memberitahu bahawa deria baunya macam hilang. Dia tidak dapat mengesan bau sabun dan Minyak Cap Kapak sekalipun.
Fadhil segera dapatkan Test Kendiri Kit Antigen dari farmasi berdekatan. Hasilnya tercalit dua garis yang menandakan +ve COVID19. Aku pun diujinya kerana tidur di dalam bilik yang sama dan hasilnya adalah +ve juga π«π«π«

Maka berkurunglah kami di bilik atas berdua. Anak-anak nampak risau tetapi segera mengambil peranan masing-masing. Sekonyong-konyong meja tinggi dan kerusi tinggi tetiba berada di dalam bilik dipikul naik oleh Fadhil.
TENGAH HARI
Tengah hari pula berbondong-bondong Nasi Air Wakaf Mek Zainab di beli oleh menantu Haziq dan dibawa naik ke atas oleh Fadhil yang baru lepas tempuh kuarantin di KL semasa balik bercuti lebih 2 minggu yang lepas. Jadi makan tengah harilah kami dengan bahagianya. Air teh panas, teh O pun tetiba kelihatan di atas tempat menggosok baju macam magik. Semuanya tanpa disuruh dan minta pun. Tersentuh sakan di hati dibuatnya. Fadhil yang sepatutnya berlepas balik hari ini menunda ke esoknya.
KLINIK PENAMBANG
15 NOV 2.00pm Kami ke Klinik Kesihatan Penambang untuk Ujian PCR, pengesahan Status COVID19 kami. Temujanji dibuat oleh anak kami Nana semalam. Jadi kami hanya pergi ke tempat saringan dan tunggu nama dipanggil. Kalini kena korek hidung dan kerongkong sekali π°π°π°. Keputusan akan diberitahu esok.
ANAK-ANAK EMAS
Sebelah petangnya naik pula nasi kerabu Kak Na berlauk daging bakar dengan tambahan kambing bakar bersadur mayonise yang Fadhil belikan untuk aku sarapan tapi aku telah mengambil Nasi Kak Wook yang Kak Long belikan. Makanlah aku di verandah luar bertemankan angin segar dan bungaan isteri yang tergantung.https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10223099169440676&id=1024520509
Malamnya naik lagi mee goreng claypot untuk makan selepas solat isyak. Adusss.. Berbunga-bunga hati ini menerima layanan sebegitu istimewa dari anak-anak. Inilah agaknya penzahiran Keluarga Sakinah yang sering didoakan.
Ya Allah, bahagiakanlah mereka sebagaimana mereka membahagiakan kami kini, murahkan rezeki mereka, jauhkan mereka dari mara bahaya mahupun cobaan yang tidak mampu diterima. Berkatilah hidup mereka dan jadikanlah keluarga yang mereka sedang bina satu Keluarga Sakinah.

KEESOKAN 15HB
Pagi ini aku rasa agak gementar dalam badan dan kesejukan. Jadi duduklah atas recliner di verandah sambil mengelamun. Adik, anak bongsu datang bertanyakan nasi pagi. In teringinkan Nasi Mereyan yang di depan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Dia sukakan lauk itek serati sedangkan aku gulai ikan campur ayam kampong. Dan sudah tentulah kenikmatan merasainya.

Fadhil berangkat pulang sebelum zohor dan kami hanya dapat lambai dari atas sahaja πππ

KEPUTUSAN PCR
Keputusan PCR adalah +ve dan ini bermakna semua ahli keluarga yang hari tamat tempuh kuarantin kerana Close Contact dengan pesakit COVID19 terpaksa menambah lagi tempuh kuarantin selama 10h sehingga 24Nov.
Esoknya kami perlu ke CAC; COVID Assessment Centre untuk menilai pesakit bagi tujuan isolasi di rumah atau pusat kuarantin. Tempatnya adalah di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa.
Apapun makan Tomyam dengan telur dardar dahulu malamnya. Biasanya dalam pukul 7.15pm semasa kami solat maghrib terdengarlah pintu diketuk perlahan. Dan selepas solat satu lonjok makanan sudah tersedia di atas ironing board termasuk satu talam dengan teh dan cawan. Allahu akbar…
16 HARIBULAN – EPISOD TAMBAHAN
10.30pg Kami bertiga dengan Nana ke Klinik Kesihatan Peng Chepa untuk tujuan penilaian. Ada 2 khemah disediakan dan kami ke khemah pertama untuk pendaftaran dan penilaian awalan.

Selesai di situ kami beralih ke khemah kedua dan sesi soal jawab dan penilaian lanjut dilaksanakan. Oleh kerana faktor usia, diabetes dan obesiti (BMI > 30) aku disarankan ke Pusat Kuarantin. Aku kata buat apa ke sana sedangkan aku tidak mengalami simtom-simtom berkaitan COVID19. Mati kutu kalau duduk saja di sana. Oleh kerana mempunyai peralatan Oximeter, thermometer dan BP Monitor di rumah, aku dibenarkan dikuarantin di rumah dengan menyukat dan lapor keadaan setiap hari.
Jadi berlanjutanlah episod kuarantin kami dan dipakaikan gelang merah jambu baru dengan tarikh akhir baharu sehingga 24 Nov.
Episod tambahan berlaku bila Ariff (suami Nana) dan anak-anaknya disahkan +ve COVID19 dengan ujian di klinik swasta. Maka naik ke ataslah dia. Bila mana dalam bilik anak sedang nyenyak tidur, di verandahlah dia bermesyuarat atas talian.

Sekarang ini separuh dari ahli rumah disahkan +ve. Oleh itu kami membuat keputusan supaya semua yang disahkan +ve diasingkan di tingkat atas dari yang sihat wal’afiat di tingkat bawah. Laluan tangga dikunci untuk kawalan pergerakan antara dua geng yang kamceng dan amat mesra riuh rendah di rumah; Aidil (+ve) dan Hannah (-ve) / Aleeya (+ve) dan Nufayl (-ve).
Kesian sungguh Nufayl yang terjenguk di tangga sambil merayu ‘Nak naik, boleh?’ Sayu hati nak menjawab tak boleh πππ
LEBIH KEBEBASAN RUANG
Dengan perkembangan terkini kami berdua yang kebanyakan masa berkurung di dalam bilik sudah bebas keluar ke ruang TV dan Bilik Baca. Makan tengah hari dan malam pun bersama di meja bersila yang akan diletakkan di depan TV pada waktu makan. Jadi perkembangan baru ini walaupun disebabkan oleh jangkitan, ia memudahkan lagi bagi kami; rahmah dalam musibah alhamdulillah.
BANTUAN KEMANUSIAAN
Anak saudara yang tinggal di kampong berdekatan segera menghantar bantuan makanan dan lengkap dengan air lemon untuk makan malam bila mendengar kami di dalam musibah.
17HB – EPISOD BARU
Keesokannya Haziq, menantu sulong kami walaupun telah didapati -ve mengalami gejala simptom COVID19 dengan selsema, sakit kerongkong dan hilang deria bau. Beliau membuat ujian lanjut di Klinik Kesihatan Penambang.
Sebagai langkah awalan kerana melalui simptom terbabit, sudah hampir pasti ianya +ve, beliau ambil ketutusan untuk naik ke atas bersama para pesakit lain. Bilik bacaan menjadi tempatnya. Ada kerusi panjang yang boleh dijadikan tilam dan akses ke verandah. Selesa tempatnya untuk kerja dan juga berehat.

Dengan itu bertambahlah keperluan makan minum dan pendobian yang perlu disediakan untuk warga atasan. Walaupun begitu segalanya lancar sepertimana semasa kami berdua sahaja yang berkurung dalam bilik di atas. Terbaik anak-anak abah.
EPISOD MELAPOR
Episod berikut adalah melapor setiap hari melalui MySejahtera dan Borang Online mengenai perkembangan kami. Alhamdulillah paras oksigen dapat dikekalkan di atas paras 95 yang menjadi tanda aras berjaga-jaga.
2 DARJAT
Bermula dari 17hb Nov, rumah kami terbahagi dua; di atas adalah untuk golongan kuarantin. Di bawah adalah golongan bebas COVID dan pemberi perkhidmatan kepada para kuarantin di atas.