CUCU
Akhir-akhir ini cucu lelaki ni selalu buat fe’el meminta perhatian sedangkan kedua ibu-bapa sibuk dengan tugasan rasmi online. Masa dengan kami sedikit masa dahulu tidaklah nampak macam perlukan perhatian sangat. Pandai bawa diri, buat lawak dengan mimik muka yang menjentik kasih Nekwa-Tokbah. Selepas abahnya ada bersama, nampaknya dia makin berebut perhatian dengan kakaknya. Agaknya begitulah lumrah anak bongsu.
PASAR TERAPUNG PENGKALAN DATU
2 hari lepas kami bawa dia berjalan dengan kakaknya selepas urusan membeli keperluan untuk masakan tengah hari. Seronok mereka berjalan. Dengar bunyi ambulan dia buat suara ambulan, tengok backhoe dia laung ‘jengkaut’, nampak lembu dia menguak cara dia, pendek kata ambil perhatian kepada semua yang ternampak di ruang pandang kami. Kakaknya pun nampak sangat caring walaupun kekadang agak kasar.
Tidak ada apa di sini. Cerana Villa nampak sedang dalam proses ubahsuai. Jeti terapung yang biasanya menjadi tempat tarikan juga ditutup dan kami tidak dapat naik. Jadi cukup dengan tengok air dan berjalan di tepinya. Itu pun dah menyeronokkan budak-budak selepas sekian hari terperap di rumah dan hanya keluar petang di kawasan berdekatan.
WAT PAGAR NAGA
Nama sebenarnya adalah: Wat Phothikyan Phutthaktham dan berada di Kg.Balai, Bachok.
“Wat Phothikyan Phutthaktham” https://m.facebook.com/pages/Wat-Phothikyan-Phutthaktham/1160652837442950
Selepas Pangkalan Datu, biasanya kami akan ke Pantai Senok aka Pulau Nami Kelantan dan Pantai Kemayang kerana berdekatan. Oleh kerana sudah tengah hari, kami rasa tak sesuai bawa cucu ke pantai. Mengikut pengalaman mereka akan minta juga nak main pantai sedangkan matahari mencanak di atas.
Wife teringatkan perbualan dengan seseorang ketika berjumpa di tempat lain sebelum PKP. Mereka juga berkeluarga dan suka keluar berjalan-jalan ke tempat menarik tempatan bila kelapangan. Dia menyebut beberapa tempat menarik sambil memberikan pandangan betapa Kerajaan tidak peka dan kreatif menjadikan tempat-tempat begini sebagai tempat tarikan pelancong dan dapat memberi pendapatan kepada penduduk tempatan. Kebanyakannya kami sudah sampai, jadi dapatlah berbalas pendapat. Bila dia sebut Wat ni, agak terlopong juga kami sebab tak pernah dengar tentangnya walaupun di daerah asal kami.
Hannah terlegun melihat sepasang patung naga raksasa melinkari seluruh kawasan berpagar dan meminta untuk bergambar. Biasanya dia camera-shy. Nufayl agak takut untuk turun. Jadi aku dengan Hannah sahaja turun. Seperti biasa aku photographer yang halimunan di dalam gambar-gambar keluarga yang dirakam.
Masa sudah hampir dengan waktu Jumaat dan aku rasa amat tidak sesuai berada di sini pada waktu ini walaupun kami masih belum dibenarkan solat jumaat di masjid 😥😥😥
Leave a Reply