DI TERATAK BONDA
Damai terasa sambil berbaring di atas lantai kayu beralas karpet baldu untuk menghilangkan penat akibat kerja yang tak seberapa.

Di sinilah bonda tinggal dahulu bersama anak perempuan yang didiagnos sebagai pesakit skizofrenia. Di sinilah bonda terbaring menghilangkan penat menguruskan rumah dan anak yang sakit. Wajahnya tetap tenang, pasrah menerima takdir. “Selagi Mek mampu menguruskan, di sinilah Mek akan tinggal dan Som (pesakit) bersama. Kalau dah terbaring tak boleh bergerak, ikut demolah nak angkat ke mana pun. Mek tak akan membantah”
Teratak ini sentiasa kemas, bersih. Di tangga yang begitu nostalgik inilah tempat dia selalu duduk melepaskan lelah satelah menguruskan barisan bunga-bungaan kegemarannya. Tiada sekelumit debu yang mencemari tangga ini, walaupun ketika dia keuzuran.


Sambil terbaring wajah bonda yang dimakan usia tetapi tetap manis menerima kedatangan kami menziarah terbayang di mata. Terbayang tutur katanya yang selalu perlapik jenaka dan ada kalanya sarat mengandungi pedoman. Sangat suka dia bila kami datang membawa nasi belauk/kerabu dan pelbagai juadah peneman nasi. Ada dia tersebut kalau In (isteriku) datang, makanan yang dibawa selalunya lengkap dengan kueh pembasuh mulut. Dan tak lupa juga teh kaw yang telah diperturunkan ilmunya oleh bonda sendiri.

Teratak inilah yang menjadi rumah kami sejak berpindah ke Kuantan. Dan untuk pencen aku telah baikinya dan naiktaraf dengan menambah bilik, bilik air, perluas kawasan hadapan sehingga terpaksa merombak tangga nostalgia itu dan gantikan dengan tangga yang baharu.

Kini aku telah tinggalkan teratak ini dan kembali ke rumah yang aku beli melalui pinjaman semasa bekerja dahulu dan sudah dibaiki san naiktaraf. Setiap kali datang membersihkan rumah, terbayang wajah manis bonda yang tersenyum bila melihat menantu menyapu dan membersihkan rumah seolah dia masih lagi di situ….
Leave a Reply