KELUARGA BERSAMA
Hari ini adalah satu hari hari gembira buat kami sekeluarga kerana 2 keluarga anak-anak kami pulang untuk bersama. Kak Long dan Haziq balik untuk mengambil anaknya Hannah yang ditinggalkan bersama kami kerana kedua mereka berkursus induksi dari 6 Ogos sehingga 15hb. Semalam Eti dan keluarga juga pulang dan sampai pukul 2.15pg tadi. Alhamdulillah.
Selepas sarapan pagi di Kopitiam Sri Cemerlang, kami bertolak ke Medan Ikan Bakar menghala ke Kuala Besar kerana ingin menaiki Boat Cruise.
Pejabat Boat Cruise berada di Medan Ikan Bakar. Kami bercadang untuk cari pakej dalam 1 jam sahaja kerana ada 2 orang anak kecil dan takut mereka kepuasan dan sukar untuk kami mengawal mereka. Satelah bertanya, kami setuju untuk trip ke Pasar Terapung yang hanya ada pada hari Sabtu. Ia tiada di dalam brosur pakej pelancongan. Harganya adalah RM15 se kepala dan kami ada 7 orang. Ada keluarga lain yang ingin juga ke sana dan cukup untuk satu bot 12 orang.
MENYELUSURI SUNGAI KELANTAN
Kami menaiki bot di tingkat bawah Medan Ikan Bakar. Bot yang dinaiki berkapasiti 12 orang dengan dipacui 2 enjin besar tertera 115 di atasnya. Entah apalah maksudnya tetapi aku tahu ia adalah enjin berkapasiti tinggi berdasarkan pengalaman di Kuala Lipis dahulu. Pada masa bot mula memecut laju, Lisha meraung kerana terkejut dengan bunyi kuat dari enjin bot yang memacu deras.
Hannah steady sahaja. Memang dia suka air dan sudah dimaklumkan kami akan menaiki bot. Agaknya secara psikologinya dia sudah bersedia.
Menyelusuri Sungai Kelantan, kelihatan banyak bot-bot kecil nelayan hilir-mudik dan terdapat beberapa perusahaan menyedut pasir dari sungai dengan longgokan atau lebih tepat timbunan pasir membukit di darat. Bila menghampiri kawasan Pasar Terapung, bot mula memperlahankan kelajuan kerana air yang semakin cetek dan terdapat dahan kayu di dalam sungai. Hannah nampak OK sahaja tetapi Lisha berkerut dahinya. Di destinasi kelihatan jeti kayu sedia menanti bot yang akan sampai.
PASAR TERAPUNG.
Bila menaiki jeti ke pulau berkenaan, terpandang macam satu kampung biasa di kawasan pantai. Mana dia Pasar Terapung berbisik di dalam hati? Inikah dia pasar di darat di kawasan pulau yang dinamakan Pasar Terapung? Kami tertipu, bisik hatiku. Aku membayangkan keadaan di Bangkok di mana terdapat bot-bot dipenuhi pelbagai makanan dan upacara membeli belah di antara penumpang bot dengan penjual di dalam bot-bot berkenaan.
Aku terpandang satu poster yang dengan gah menyatakan bahawa ini adalah Pasar Terapung yang pertama kali di Malaysia. Adooii yaaa…š š š Pulau itu didominasi oleh pokok-pokok kelapa yang agak rendang. Tanahnya berpasir dengan pasir sungai. Di luar kawasan lebih kurang 1 ekar adalah semak dan rumput tinggi macam kawasan tanah terbiar. Di dalam kawasan ini ada beberapa bangsal seolah bangsal goreng pisang.
Satelah berjalan dari satu bangsal ke satu bangsal, ternampaklah aku deretan perahu di tebing sungai. Di dalam setiap perahu ada 2-3 orang perempuan kampung dengan pelbagai jenis makanan dan minuman. OOOOO…. Ini rupanya Pasar Terapung. Penjual di dalam perahu dan pembeli di daratan. Terdapat beberapa meja-bangku berhampiran. Pembeli akan membeli apa sahaja juadah dan boleh makan di bangku-bangku berkenaan.
Untuk merasai susasana, kami belilah beberapa jenis makanan. Ada lokam rebus yang dimakan dengan pencolek. Itulah nampaknya yang popular dimakan. Yang lain adalah biasa; mee-hoon, mee goreng, udang masak tepung (udang kecil sahaja), air oren Kelantan, cendol, air kelapa dan beberapa jenis minuman manis.
Di satu sudut ada karaoke dan agen boat cruise asyik dok usik pengunjung supaya berkaraoke di situ. Haziq tak terlepas dari usikan tetapi dia bertegas enggan melontarkan suaranya. Di hujung tanah clearing tersebut ada satu buah rumah kampung kecil dan bersebelahannya tandas 2 pintu.
Kami lama juga di sana. Kalau tak silap pakej kami hanya 1 jam tetapi sudah jauh melebihi masa tersebut. Akhirnya tiba masa untuk bertolak ke jeti MIB. Bot membawa kami ke laut dahulu dan kami dapat melihat Salinity Boundary yang dinyatakan di dalam al-Quran di mana air masin dan air tawar berasingan seolah satu sempadan yang memisahkan. Pemandu bot kata sekarang ini, agak bercampur tetapi pada masa tertentu memang jelas keliahatan sempadan itu; antara air keruh dan air bersih. Kali ii Alisha tidak lagi meraung tetapi dahi tetap berkerut bila bot menderum laju. Dan dia menolak masaalah tersebut dengan tidur. Ya, sama dengan anak-anak aku dahulu ketika mereka membesar.
PAK MAT PULAU PISANG
Bila sudah sampai ke Pangkalan jeti, kami menaiki tangga ke medan ikan bakar yang mana menu biasa tengah harinya adalah Nasi Ulam atau Nasi Kerabu. Hari ini tiada jualan nasi ulam tetapi ada Majlis perkahwinan dan sepasang pesilat sedang menarikan langkah silat di hadapan pengantin diiringi musik silat yang mengasyikkan. Seasyik persembahan silat, kuat lagi tarikan ke Teh Tarik Madu Pok Mat Pulau Pisang bersebelahan. Masa sudah melewati pukul 1.00pm. Apa lagi, kami pun tidak melepaskan peluang ini. Kali ini aka merasakan bahawa rasanya sudah kurang uuummph. Walaupun rasa Teh Tarik Pok Mat tetap ada, rasa manisnya sudah terlalu kurang sehingga bukan lagi Teh Tarik Madu Kurang Manis, tetapi Teh Tarik Madu Tidak manis. Tak apalah. Dan satu lagi menu spesial Pok Mat adalah Sup Ikan Senangi. Oleh kerana belum betul-betul lapar ambil sharing-sharing sahaja.
Satu hari yang cukup memuaskan. Satu pengalaman baru. Satu tempat baru. Alhamdulillah.