MENGEMAS TUGAS MERIMAS
Aku adalah seorang pesara, baru sahaja pencen dari pejabat Kerajaan di Ibu Kota. 1hb Jul 2018 adalah trip terakhir barangan dari rumah lama di KL tiba di rumah pencenku di Kota Bharu, Kelantan kecuali bunga-bungaan yang memerlukan trip khas dengan lori yang lebih kecil.
Maka, bersambunglah semula urusan memunggah, menyusun, membuka kotak, mencari tempat baharu di rumah kami. Melihatkan kotak-kotak tu pun dah cukup untuk memuntahkan segala makanan sedap Kota Bharu yang baru pagi tadi dijamah dengan begitu mengasyikkan. Nasib baik, anak menantu datang membantu.
Terima kasih Mazrul, Eti, Alisya, Fadhil, Mama Chu. Terima kasih juga kepada Haziq, Kak Long dan Hannah yang meminjamkan kudrat semasa trip pertama dahulu.
Selang beberapa hari, ASTRO pun datang. Alhamdulillah, tidaklah malap sangat siaran TV yang sekarang ini sudah tidak lagi merupakan satu kehendak, tetapi sudah menjadi satu keperluan bagi setiap rumah. Ruang menonton pun sudah dapat disiapkan untuk satu kawasan rehat menghilangkan kepenatan.
Walaupun kotak-kotak masih ada yang belum dibuka, tetapi untuk merehatkan badan sambil menikmati hidangan apa jua yang ada, ianya sudah mencukupi, alhamdulillah.
Bilik bacaan sebelah belakang juga berjaya disiapkan. Jenuh juga aku memunggah buku-buku, album, majalah, kitab-kitab dan bahan bacaan untuk ruang ini yang amat memuaskan hatiku. Buku dan aku tidak dapat dipisahkan sepertimana bunga-bungaan kepada isteriku. Akhirnya tamannya juga sudah menampakkan wajah.
Syukur ya Allah. Alhamdulillah
Memang amat memenatkan tetapi akhirnya suasana rumah tidaklah menyeksakan mata memandang dan membebankan rasa, menyerabut di hati. Sudah tidak mampu rasanya untuk membuka kotak-kotak lain yang masih tersandar di tepian dinding bertingkat-tingkat. Hendak ke KL kerana memenuhi undangan walimah anak arwah rakanku, rasanya tidak mampu kerana jaraknya dan kudrat yang tinggal nyawa-nyawa ikan. Akan tetapi kalau ke Gerik rasanya tidaklah jauh sangat untuk dua insan yang satu darinya sudah diisytiharkan warga emas bertaraf PESARA.
So Gerik It is. Kak Long, Haziq, Hannah….here we come…14 Jul 2018.
PERJALANAN
Kami bertolak tengah hari selepas selesai urusan di rumah. Kami bertiga; aku, isteri dan anak bongsu, Mama Chu, yang sedang menunggu kemasukan ke universiti tempatan dan sekarang ada di rumah. Kami melalui jalan Rantau Panjang.
Alhamdulillah, jambatan kembar melintasi Sg. Kelantan di Pasir Mas sudah dibuka dan laluan adalah lancar. Terima Kasih JKR Kelantan. Jasa kepada Rakyat. Kelihatan rumah pelik dengan pagar bertatah keemasan dan sarat dengan hiasan berunsur Thailand yang dahulunya menjual dodol, sekarang tampak maju dengan perusahaan serunding daging.
Melalui jalan FT03 ke Rantau Panjang kelihatan kawasan pesat membangun di sebelah kanan dengan bertanda Pusat Makanan Halal. Kedai-kedai banyak kelihatan. Kami mengambil laluan melalui Pekan Bebas Cukai Rantau Panjang. Tampak Sg.Golok berhampiran dan tanah jajahan Thailand di sebelah sana. Jaraknya kelihatan dekat sahaja. Perejam sukan lempar lembing rasanya mampu merejam lembing sehingga seberang sana.
Sekarang ini sudah ada 3 pintu masuk ke kawasan bebas cukai. Yang terbaharu terus ke kawasan pekan baru. Kami mencari makan tengah hari kerana jam sudah menunjukkan hampir pukul 3.00pm. Dengan bertanyakan orang tempatan, kami ke kedai Kak Yah Mee Celup tidak jauh dari pusat bandar. Sepertimana tempat makan yang sedap, ianya tidak di restoran besar tetapi warung-warung kampung. Ya, memang sedap sekali.

Kami kemudian meneruskan perjalanan melalui jalan FT196 di sempadan Thai sehingga Panglima Bayu dan memasuki Jalan FT04 yang lebih dikenali dengan Jalan Raya Timur – Barat (JRTB) melepasi Jeli.
Sekarang ini sudah ada beberapa persimpangan masuk ke Pekan Jeli dan ke Jelawang serta Gua Musang melalui FT66. Kami meneruskan perjalanan melintasi Gunung Reng yang merupakan tempat bersejarah Negeri Kelantan dengan lagenda Puteri Saadong. Kawasan puncak JRTB sudah dibangunkan kawasan R&R Titiwangsa. Udaranya sejuk dan terdapat kemudahan untuk solat, tandas dan makan-minum. Sayangnya pemandangan tidaklah seluas mata memandang kerana terhalang oleh pokok-pokok. Apapun kawasan ini penuh dengan mereka yang berhenti rehat sebelum meneruskan perjalanan. Kami singgah untuk solat. Airnya terasa sejuk bila berwudhuk tetapi nyaman sekali.
Seterusnya kami teruskan perjalanan dan berhenti di Jeti Tasik Banding. Sengaja aku berhenti di sini untuk membeli Madu Tualang Asli. Jeti ini dibina oleh JKR melalui Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan, CKIP.
Kami tidak lama di sini dan terus ke Pekan Gerik. Terpaksa berhenti dahulu untuk makan kerana tadi kami hanya menjamu selera dengan mee celup dan perutku memang sudah meronta meminta makanan yang lebih mengenyangkan. Nasi Goreng Ikan Masin di sebelah Medan Selera yang tutup tidak mengecewakan dan itu adalah satu understatement. Kami tiba di MRSM Gerik pada pukul 6.30ptg dan Kak Long serta Hannah sudah menjenguk di verandah kuarters guru dengan senyum lebar.
Alhamdulillah. Bersambung…